Sunday, March 25, 2012

CIRI-CIRI TAMADUN ISLAM


Tamadun Islam mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Tamadun Islam bersifat terbuka iaitu boleh menerima Tamadun asing selagi Tamadun tersebut tidak bercanggah dengan dasar-dasar Islam. Berikut merupakan ciri-ciri Tamadun Islam:

1.    Berasaskan kepada ajaran al-Quran
Segala bentuk Tamadun samada dari segi kebendaan atau kerohanian tertakluk kepada ajaran al-Quran. Hal ini kerana al-Quran merupakan sumber ajaran Islam yang utama dan perlembagaan hidup yang syumul dalam menjamin kesejahteraan alam sejagat. Dengan ajaran Al-Quranlah terbinanya kecemerlangan dan kegemilangan Tamadun Islam dalam beberapa abad yang lampau.

2.    Berteraskan Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan
Islam amat menitik beratkan ilmu. Ilmu merupakan tonggak kesempurnaan iman dan ketaqwaan. Ini jelas diperkatakan oleh al-Quran maksudnya :-

“Sesungguhnya setakut-takut hamba (manusia)kepada Allah ialah para ulamak” Fathir :28

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam membina
kemajuan agama dan Tamadun sebagaimana sabdanya yang bermaksud :-

Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang inginkan akhirat
hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya (dunia dan akhirat) hendaklah dia berilmu

Hasil dari gesaan inilah lahirnya ilmuan-ilmuan Islam yang mahir dalam semua bidang dan sama-sama membangunkan Tamadun yang murni berasaskan ketaqwaan kepada pencipta Alam (Allah).

3.    Penggunaan Tulisan
Kejahilan manusia dapat dihapuskan melalui penulisan. Oleh itu al-Quran telah memberi perhatian
utama mengenai penulisan ini di mana ayat yang pertama yang diturunkan adalah perintah supaya
manusia membaca dan menerangkan juga bahawa Allah mengajar manusia melalui perantaraan pena. (Lihat Surah al-‘Alaq:1)

4.    Gabungan antara Aspek rohani dan Jasmani
Keamanan dan kesejahteraan insan itu berkait rapat dengan keperibadian yang tinggi dan pekerti yang mulia. Kemajuan dan pembangunan serta kemewahan adalah bersifat kebendaan semata-mata. Itu semua tidak bermakna sekiranya tidak disepadukan dengan pembangunan rohani insan. Contoh terbaik adalah kegagalan dari kemajuan Barat pada hari ini bahkan juga negara-negara Islam juga berpunca daripada Tamadun dan pembangunan manusia yang hanya bersifat kebendaan semata-mata tanpa diikuti dengan pembangunan rohani.

5.    Masyarakat Majmuk (Multy National)
Dalam Islam, sentimen perkauman dan ras keturunan amatlah ditolak sama sekali. Semua bangsa yang memeluk Islam dianggap sebagai masyarakat Islam dan mereka berperanan dalam membangunkan Tamadun di wilayah yang mereka diami seperti Istana Al-Hambra di Sepanyol dan Taj Mahal di Agra India. Begitu juga dengan aspek-aspek lain terutamanya penulisan buku, penterjemahan dan lain-lain lagi yang akan kita pelajari dalam bidang-bidangnya yang tertentu.

No comments:

Post a Comment